Isnin, 29 Disember 2014

Kenangan Internship

Hari ini, penulis nak update sikit berkenaan kenangan internship penulis..hehehehe

Sepanjang penulis intern, macam-macam orang penulis kenal, macam-macam ragam orang penulis nampak, dan lain-lain lagi lah.

Perasaan seronok pun ada, sedih pun ada, rindu pun ada..

Setelah hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan.. Akhirnya masa sudah semakin mendekati kepada garisan penamatnya. Hari yang panas pun sudah mendung. Hari yang mendung pun sudah hujan. Hari yang hujan pun sudah cerah. Hari bermula pun sudah dekat berakhir.

Lantas.................

Penulis coretkan kenangan yang masih tersisa ini di dalam rakaman video.

Jom layan..heheheheheh (dilarang gelak!)hahaha


Kenangan di office part 1





                                                              Kenangan di office part 2


Dah habis tengok video?

Terima kasih diucapkan kepada semua rakan sekerja, bos-bos, serta mereka-mereka yang mengenali diri ini. Sekiranya ada salah dan silap, harap boleh dimaafkan. Sekiranya ada termakan, harap boleh dihalalkan.

p/s: dariNya kita datang, kepadaNya kita kembali.. (Aip...haha ini bukan kes meninggal.. ini kes tinggalkan..hehe)

#QewComm
#BacelorKomunikasiUPM
#KenanganInternship
#Memori


Selasa, 23 Disember 2014

Buka FB lama. Terkenang banyak kenangan zaman belajar dulu. Macam-macam ragam rupanya penulis ni..hahahahah

Penulis nak kongsi satu lagu lama. Penulis dapat lagu ni dari dalam rancangan radio Klasik Nasional (sekarang dah tukar Radio Klasik). Rancangan tu bertajuk ADILA (Aku Dia Dan Lagu)..


Jom layan lirik-lirik lagu ni.. Memang best. 



Seumpama permata,
Ku gilap rapi dengan sutera,
Agar kilau sinarnya,
Kan berseri selama-lama.

Duka asmara kita,
Yang ku belai sepenuh hati,
Tanpa pula terdaya,
Ayah bonda tak merestui.
Bukannya ku sengaja,
Menodai ikatan janji,
Tak pernah ku relakan,
Perpisahan terjadi kini.
Walau jiwa meronta,
Namun sayang apakan daya,
Kehendak orang tua,
Walau pahit ku telan jua.
*Ku mohon pengertian,
Dari mu duhai pujaan,
Ku dalam persimpangan,
Antara cinta dan ketaatan.
Tak sanggup aku menderhaka,
Menghampakan hasrat mereka,
Ku mengharapkan keredhaan,
Agar hidup dalam keberkatan.
Maafkan aku sayang kerana terpaksa berundur,
Walau hati ku hancur kerana hajat yang terkubur.
Sudah takdir rencana,
Tiada jodoh antara kita.
Kau tetap ku doakan,
Moga bertemu kebahagiaan.

p/s: Siapa-siapa tahu tak lagu ni? Mencari, tapi tak jumpa..huhu

Isnin, 22 Disember 2014

Kasih Anak...

Sabtu (20 Disember 2014)

Selepas selesai program BikeRide Cuti-cuti 1 Malaysia, penulis terus bergegas ke stesen minyak di Presint 16 untuk ke tandas dan mengisi minyak motor kerana penulis ingin bergegas pulang ke kampung halaman berjumpa abah dan mak tercinta. Almaklumlah sudah begitu lama penulis tidak pulang ke kampung kerana kesibukan kerja dan program-program yang dikendalikan oleh syarikat tempat penulis bekerja.

Perjalanan dari Putrajaya menuju ke Tanjong Karang memakan masa yang agak lama sehingga penulis terpaksa berhenti di Kuala Selangor untuk mengisi minyak sekali lagi. Namun, awan yang mendung mula menurunkan benih-benih hujannya. Hujan turun dengan lebatnya tetap tidak mematahkan semangat penulis untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampung.

Akhirnya penulis selamat sampai di rumah pada pukul 2.10petang. Setiba sahaja di rumah, penulis mencari kelibat mak dan abah. Luka dikaki kanan abah akibat kayap telah pun kering, tapi kesan gatalnya masih terasa merayap di dalam kaki. Kesian abah.

Mak kata, abah rindu nak tengok cucu (Anak akak kat Puchong). Jadi penulis pun kata, jomlah pergi Puchong. Tapi mak kata, "kan ko baru sampai. takkan nak balik sana pula".

Alah..apa ada hal.. Penulis balik pun nak jumpa mak abah. Kalau abah dapat jumpa cucu itu yang membahagiakan, apa lagi yang penulis nak lihat selain kegembiraan dan kebahagian kedua orang tua penulis.

Jadi...... 4.50pm penulis gerak pulang ke Puchong semula seusai membeli syampu, spray rambut dan losyen rambut jenama Tracia di Pasar Raya Billion di pekan Tanjong Karang.



p/s: tak sangka terus jatuh cinta selepas pertama kali guna. :)


Jumaat, 19 Disember 2014

Post Weeding di Korea oleh BONKProduction

Wow........... Pagi-pagi lagi penulis dah tengok sambungan video part 2 Andaq dan Aimi.. Hahahaha

Semalam rakan sepejabat penulis telah terlihat satu video yang sangat cantik, unik, dan membahagiakan orang yang melihatnya.. 

Wajah pengantin perempuan dalam video tu memang cantik, mulus, putih, bak orang Korea. Tak percaya? Kena tengok video dia nanti..

Video ala-ala Korea memang sangat menyeronokkan, lebih-lebih lagi bila dirakamkan pada hari bersejarah dalam hidup dan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan. Bagi penggemar cerita Korea, sudah tentulah teringin dan teruja nak buat video post weeding di korea ala-ala cerita Korea juga.. kan.....hehehe

Okeylah... penulis ingin kongsikan 2 video dari BONK Production (https://www.facebook.com/BONKPRODUCTION) yang dikira berjaya menambat hati kami-kami ni.

Kepada Andaq dan Aimi, 
Penulis DOAKAN semoga hubungan kamu berdua berkekalan hingga ke syurga.. Dan semoga kamu dapat melepasi segala liku-liku hubungan suami isteri.. Semoga dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah dan dilimpahkan rezeki yang berkah.. (Hahahahahaha... cakap macam kenal sangat dengan Andaq dan Aimi ni, padahal tengok video post weeding je...hihihii)

Apa-apa pun, doa tu ikhlas tulus dari hati penulis buat kedua-dua pengantin tersebut..

Video Post Weeding in Korea Part 1

Video Post Weeding in Korea Part 2

Selasa, 16 Disember 2014

Festival LAMPU 2014

Wow........

Festival LAMPU (Light And Motion Putrajaya) 2014 telah pun berlalu beberapa hari yang lepas. Pengunjung yang hadir dihidangkan dengan sajian pencahayaan yang sangat menarik. Lebih-lebih lagi pencahayaan yang disajikan menggunakan teknologi moden yang jarang sekali ditemui di Malaysia.

Penulis ingin kongsikan serba sedikit gambar-gambar yang sempat penulis albumkan buat tatapan mereka yang tidak sempat menghadiri festival ini.

Jom hayati gambar-gambar di bawah..
Decorative Arch

 Standing Structure

 Logo LAMPU



Digital Interaktif



Projection Mapping


Gambar-gambar yang penulis memuat naik ini sebenarnya gambar sewaktu masih lagi dalam proses. Hanya sempat ambil pada waktu ini sahaja. 

Sebenarnya Festival LAMPU ini bukanlah festival yang menayangkan lampu-lampu disegenap pelusuk, tetapi mengenai pencahayaan dan pergerakkannya hasil dibias melalui projektor, seperti projection mapping. 

Oleh yang demikian, suasana ketika festival ini berlangsung kelam dan gelap sebab pemetaan pencahayaan pada bangunan-bangunan yang dilakukan memerlukan suasana yang gelap untuk ia jelas kelihatan pada bangunana tersebut.

Walaupun proses yang dilalui sebenarnya agak rumit kerana setiap inci bangunan perlu di grid kan dengan tepat, namun kesan visual yang dipaparkan sememangnya unik dan menarik.

Pengunjung-pengunjung yang sebelum ini belum pernah melihat panorama seperti ini kebanyakannya kelihatan sungguh teruja dan kagum.

Namun, tidak disangkal juga, penulis melihat terdapat maklum balas negatif mengenai festival LAMPU ini lebih-lebih lagi komen dari pengunjung yang tidak memahami mengenai 'Projection Mapping' kerana bagi persepsi mereka, festival lampu ini mestilah dipenuhi dengan lampu disegenap jalan.

Okeylah, penulis ingin mengundur diri dahulu. Semoga Festival LAMPU akan datang akan banyak penambahan dan penambahbaikan isi-isi di dalamnya. 

Majulah teknologi, majulah anak bangsa..

Hihihiii.. Siap trademark pula..Hahaha
   

Ahad, 21 September 2014

Sakit Apakah??!

JUMAAT (19.9.2014)

Aku tidak seperti hari-hari sebelum ini. Hari ini, perut aku tidak ingin membuang air besar. Pada waktu maghrib, aku dalam perjalanan pulang ke pejabat ku. Aku mengalami sakit-sakit dibahagian perut ku. Seakan nilu-nilu terasa. Aku sangkakan mungkin aku terlalu lama terdedah dengan penghawa dingin di bilik mesyuarat dari selepas jumaat. Hari ini, sepatutnya aku datang bulan. Tapi tiada pun. Malam itu, badan aku sebenarnya seakan-akan ingin demam.

SABTU (20.9.2014)

Aku lewat tidur, menyiapkan kerja. Pagi tu, aku sebenarnya demam. Badan ku, muka ku, semuanya terasa panas. Aku tidur dan bangun lambat. Selepas bangun, aku mengemas rumah, mop lantai, cuci bilik air, basuh baju. Aku lambat makan nasi. Dah nak maghrib baru aku makan. Aku masih lagi tidak datang bulan.

AHAD (21.9.2014)

Selepas makan, perut ku memulas-mulas. Ini memang kebiasaan aku. Setiap kali aku menjamah sesuatu pada siang hari (selepas bangun tidur), aku akan ke bilik air membuang. Aku terkejut melihat air di mangkuk tandas berwarna merah pekat. Aku datang bulan ke? Tidak. Darah itu keluar dari lubang dubur ku. Setiap kali aku meneran, darah menitis-nitis jatuh. Aku tertanya. AKu berak berdarah? Untuk kali pertama. Aku tak tahu berapa banyak darah yang telah keluar semasa aku buang air besar.



Selasa, 9 September 2014

Cinta Terputus Ditengah Jalan

        Pada 2 minggu yang lepas, penulis telah menghadirkan diri ke sebuah kenduri kahwin seorang kenalan yang pernah rapat dengan penulis suatu ketika dulu. Penulis datang bertemankan kakak dan abang ipar. Pada awalnya penulis ingin mengajak teman-teman penulis, tetapi mereka masing-masing sibuk.
       Penulis tidak menyangka bahawa penulis mempunyai kekuatan untuk menjejakkan kaki ke majlis perkahwinannya dengan insan yang dia cintai. Mungkin kerana penulis telah menyemaikan di dalam hati ini supaya menerima segalanya dengan redha.
       Ya... dahulu dia lah merupakan insan yang berjanji akan mengambil penulis menjadi isteri dan suri hidupnya. Dia lah lelaki pertama yang menghadirkan diri secara realiti untuk mengambil diri penulis bukan hanya sekadar kawan, tetapi lebih dari itu. 
       Namun, ketentuan dan takdir Allah itu lebih cantik. Dia telah mengambil  keputusan untuk menghentikan perhubungan ini setelah setahun. Penulis sedar, diri penulis ini memang serba banyak kekurangan. Walaupun perit untuk diterima, namun, penulis tetap mengumpulkan kekuatan untuk menghadapi realiti ini.
       Kini, dia sudah pun bertemu dengan jodoh yang Allah tentukan buatnya. Tidak pernah terlintas pun di hati penulis untuk menyimpan dendam kepadanya kerana telah memungkiri segala janji-janji yang pernah ditabur dulu. Penulis mendoakan kebahagiannya bersama pasangan hidupnya itu. Semoga dia dikurniakan anak-anak dan keturunan yang soleh solehah, dan berjaya dunia akhirat.
      Bagi penulis, segala ini telah pun tersurat. Jalan ini yang dibentangkan buat penulis. Dan jalan ini yang penulis harus lalui. Perjalanan cinta ini masih panjang. Kini di samping penulis, telah hadir seorang insan yang mungkin bakal menjadi pendamping penulis di kemudian hari. Segalanya penulis serahkan kepadaNya untuk menentukan jodoh yang terbaik buat penulis.
       
Penulis nak kongsikan sebuah lagu dari Noorkumalasari:


Dalam keriuhan
Riang suasana
Di majlis yang indah
Dari kejauhan
Aku menyaksikan
Persandingan dikau
Kau dikelilingi
Teman teman dan saudara
Aku ditemani air mata
Sukar meyakinkan
Hati yang terluka
Oleh janji janji
Masih kedengaran
Jelas di bayangan
Kemesraan yang lalu
Setiap kulahirkan
Keraguan masa depan
Kau selalu meyakinkan daku
Amat pedih melindungi kelukaan hati
Dengan senyum senda gurau dan ketawa
Diri seperti sekam dan api
Ku terbakar sendiri
Bila bersendiri
Aku mimikirkan
Di mana silapnya
Hingga dengan mudah
Dikau memungkiri
Mengkhianati janji
Apa alasanmu
Tiba tiba melukakan
Hati seorang kekasih lama
P/S: Hidup Mesti Diteruskan.
       Yang Patah Tumbuh, Yang Hilang Berganti

Jumaat, 29 Ogos 2014

Praktikal : Kali Pertama Hari Pertama



                Pagi ni, cuaca nampak redup. Sementara aku bersiap mandi, kakak dan abang ipar ku sudah pun keluar kerana kakak ada temujanji dengan doktor di hospital. Biasalah, cek keadaan bayi dalam kandungan. Mujur adik aku ada lagi di rumah. Selalunya dia sudah gerak ke tempat kerja dia di KL.
                Aku pun terkocoh-kocoh bersiap-siap. Takut-takut ditinggalkan adik ku. Almaklumlah, ini hari pertama aku sampai di sini. Jalan pun aku tak hafal lagi. Disebabkan hari ini hari pertama aku lapor diri, jadi aku mengenakan baju kurung hijau. Risau juga aku pakai baju kurung ni sebab aku menunggang motorsikal.
                Hujan rintik-rintik. Aku mengenakan baju hujan (seluar hujan tak pakai sebab aku pakai kain). Masa hendak ke laluan Putrajaya, motor ku yang ditepi tak mampu mengelak lopak-lopak air. Lebih-lebih lagi keadaan jalan raya yang jem dan kereta bersesak-sesak sampai menghimpit ke tepi. Oleh itu,aku nyaris-nyaris terjatuh akibat tidak dapat menyeimbangkan motor. Aku meneruskan perjalanan ke tempat kerja ku berbekalkan doa semoga Allah melindungi aku dan motorku.
                Oleh kerana aku baru sahaja berjinak-jinak menunggang mtorsikal, tidak dapat ku nafikan bahawa aku masih lagi terkial-kial menunggangnya. Risau juga jika aku terlibat dengan kemalangan. Tapi, apa yang boleh ku lakukan. Itulah satu-satunya kenderaan yang aku ada.
                Akhirnya, aku selamat tiba di Presint 15. Aku meletakkan kasut sarung pasarku di box motor dan mengenakan kasut sarung hitamku. Akan tetapi, menyesal pula aku dibuatnya sebab kasut sarung hitam tu terlebih saiznya. Walaupun saiz 5, tapi kaki ku seolah-olah kaki budak kecil yang memakai kasut dewasa. Kaki ku asyik terkeluar dari kasut. Seakan-akan ingin ku campak sahaja kasut tersebut. terseksa aku nak berjalan.
                Aku menjejakkan kaki di pejabat Qew Communication pada pukul 8:40 pagi. Tidak sampai dua minit aku duduk di sofa hitam diruangan tamu kecil, En. Iqbal yang merupakan Pengarah Urusan pun sampai. Aku pun masuk ke pejabat En. Iqbal brief kan kat aku mengenai tugasan aku sepanjang aku praktikal.  Pada waktu itu, En. Syamsir yang merupakan Pengarah Operasi masih belum tiba lagi.
                Selain memberitahu aku mengenai tugasan aku, En. Iqbal juga buat satu pengakuan bahawa Darlene (salah seorang staf di situ) sebenarnya adalah muslim. Sebelum ni, iaitu semasa aku ditemuduga, En. Iqbal dan En. Syamsir ni bagitahu aku yang Darlene ni non-muslim. Kiranya kes aku kena kelentong lah.
                Tugas aku sepanjang aku praktikal ini ialah aku akan menjadi pembantu kepada Darlene dalan menguruskan Putrajaya International Islamic Arts & Culture Festival (PIIACUF) 2014. Kira PIIACUF ni event besar yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj). Meja aku sebelah Darlene.
                Selepas itu, En. Iqbal perkenalkan aku dengan staf-staf di situ; Kak Yana, En. Marwan, Zalikha, Izzati, dan En. Miat. Darlene aku dah kenal semasa aku di temuduga dulu. Aku bersyukur sebab staf-staf kat sini semuanya baik-baik belaka.
                Pukul 10:05 pagi, En. Iqbal buat meeting untuk brief tugasan aku dan perkenalakan aku secara rasmi. Sambil-sambil menunggu masa itu, Darlene sendiri sudah menerangkan serba sedikit mengenai PIIACUF kat aku. Sebelum ni, Ika lah yang jadi pembantu Darlene dan sekarang, aku pula kena ambil alih tugasan Ika sebab Ika akan tolong En. Iqbal uruskan PLF (Putrajaya Light Festival). Dengar-dengar tukar nama Light And Mass Putrajaya (LAMPU). Jadi, atas permintaan Darlene, Ika kena serahkan segala tugasan dia pada aku dalam masa seminggu.
                Bagi aku, Darlene ni sangat baik. Dia bagi aku the tarik 3 dalam 1 sebab aku tak sempat sarapan lagi. Sementara Darlene sibuk menguruskan hal dia (serahkan tugasan IMAC pada Izzati), aku pun kaji fail-fail berkenaan PIIACUF. Belek sana, belek sini. Baca sana, baca sini. Tengok peta, tengok rekaan, segalanya. Nampaknya aku kena faham betul-betul. Kadang-kadang aku rasa mengantuk juga (hahahaha). Masa aku basuh cawan minuman ku, aku ternampaklah sinki yang agak serabut sikit. Aku ingat nak basuh sebab bau dia dah mula semerbak harum. Tapi Darlene tegah aku buat. Katanya, biarlkan saja. Masing-masing dah besar. Aku pun biarkan sahaja.
                Waktu makan tengah hari, Ika dan Izzati ajak aku beli makanan di kedai. Beli bungkus saja. Tapi aku agak terkejut jugalah semasa bayar harga makanan aku. Aku ambil nasi + sambal tempoyak + ikan sambal + limau ais = RM7.50. Pergh….!! Mahal kot. Tapi, itu memang harga standard di Putrajaya. Lepas makan sama-sama di pejabat, aku ikut Darlene dan Ika ke pejabat di PPj pula. Kiranya sana jadi pejabat kedua sempena menguruskan PIIACUF ni.
                Di sana, aku hubungi kedutaan-kedutaan besar negara lain yang ada di KL. Terkial-kial aku nak speaking London ni (hahaha). Mana taknya, dah lama sangat aku tak guna bahasa omputeh ni. Mujur Ika ada back up aku bila aku tak tahu nak jawab apa. Keesokan harinya pun aku kena call lagi. \
                Ika ada meeting PLF pukul 4.40 petang. Jadi, sementara Ika pergi meeting, aku pun bertanyakan Darlene mana-mana yang patut. Sambil-sambil tu, kitorang pun berborak-borak. Darlene bagi aku lagi sekali Nescafe 3 dalam 1.  Darlene buat kerja dia sampai kitorang pun tak perasan orang kat pejabat dah balik dah semua. Pintu pun sudah dikunci. Maksud aku pintu pejabat. Sebab aku dan Darlene duduk di luar beranda sahaja. Setelah selesai semuanya, Darlene hantar aku balik ke pejabat Qew Comm sebab aku letak motor aku di sana. 6:30 petang, aku pun memulakan perjalanan balik.
                Namun, malang tidak berbau. Aku tersalah masuk simpang ke IOI Resort. Akhirnya aku sampai di Hospital Serdang. Siap lalu MAEPS, masuk kawasan laluan utama UPM depan fakulti aku tu, dan aku pusing keluar balik kea rah Puchong/ Putrajaya. Aku ikut lebuh raya SKVE dan bila sampai simpang Cyberjaya/ Putrajaya/Salak Tinggi, aku pun masuk simpang tersebut. Sebab abah aku pernah kata kalau jalan terus akan sampai jambatan patah kat rumah kakak aku tu. Tapi aku tak tahu nak keluar ke mana sebab makin aku terus, makin ke lain aku pergi.
                Aku tersesat sampai ke Cyberjaya 3, dan aku patah balik. Aku banyak kali berhenti di tepi, hubungi kakak aku bertanyakan jalan. Abang ipar aku kata masuk balik Putrajaya. Aku pun masuk balik Putrajaya dan keluar ikut Lebuhraya Plus. Tapi aku sampai balik ke Serdang. Oleh sebab aku dah tak tahan nak buang air, aku pun masuk balik ke UPM, kawasan kolej serumpun dan aku buang air di tandas kat kafe. Kemudian, aku hubungi kawanku, Zawari, sebab dia praktikal di UPM saja.
                Sudah terlanjur aku sampai, aku pun serahkan pada Wari borang lapor diri praktikal untuk diserahkan di bilik magang. Wari juga tolong aku cek kan arah jalan mana yang aku patut ikut. Katanya, keluar ke simpang Salak Tinggi tu, selepas 4 kali simpang, simpang ke-5 selepas sahaja fly over terus masuk kiri. Aku pun ikut seperti yang Wari bagitahu. Sebelum tu, aku isi minyal di Lebuhraya SKVE sebelum masuk ke simpang ke Salak Tinggi.
                Akhirnya, selepas 3 jam aku dijalan raya, aku sampai juga di rumah. Aku terlalu rasa kepenatan yang amat sangat. Aku terus mandi dan makan. Aku ingat nak tidur sahaja sebab aku memang terasa penat. Tapi, tunang Palin, Ira, nak datang ambil baju melayu Palin dari aku. Aku pun tunggu.
Hujan mulai lebat di luar. Mujur hujannya malam hari. Kalau masa aku tersesat, aku tak tahu nak buat apa. Tunggu punya tunggu, Ira tak sampai-sampai lagi. Pukul 1:20 pagi aku sudah turun menunggu mereka di luar apartment Dahlia ni. Betul-betul di luar pintu nak masuk apartment sebab kereta luar tak boleh masuk ke dalam. Ada sistem palang yang tak ada jaga. Hanya mereka yang ada kad saja boleh keluar masuk.
Sebenarnya, aku takut juga menunggu seorang diri di situ. Dahl ah dengan keadaan hujan lebat, bertemankan payung dan fon sahaja. Aku ada nampak dua orang lelaki di bawah pondok jaga. Aku menunggu sambil menoleh-noleh kebelakang. Manalah tahu, kalau-kalau tiba-tiba mereka ada niat jahat ke. apa-apa boleh terjadi. Dalam hujan, dalam gelap, malam-malam.
Pukul 2:00 pagi, Ira pun sampai. Diorang ni tersesat dan bertanyakan aku. Memang aku tak tahulah sebab aku pun baru je tiba di situ dan tersesat 3 jam masa nak balik dari pejabat ke rumah je pun. Masa aku berjalan balik masuk ke kawasa apartment, aku pula terlanggar kon merah kat tepi palang keluar. Gelap. Dalam pukul 2 lebih baru aku masuk tidur. Seluar ku yang basah sampai ke peha Cuma aku lap-lap dengan kain je. Walaupun kebasahan, aku dah malas nak ganti seluar. Aku penat dan tertidur akhirnya.
*****


Ahad, 10 Ogos 2014

Merindui Seseorang?

Apakah perasaan anda sekiranya anda merindui seseorang?

Apakah perasaan anda sekiranya anda merindui seseorang yang bukan pasangan anda?

Dua soalan yang sama pada awalnya, tapi pengakhiran yang berbeza..
Sudah semestinya anda akan merasa terseksa jika mengalami situasi seperti ini. Maka, segeralah berhenti merindui mereka yang bukan milik anda..Dan anda bukan miliknya.. hargailah perhubungan yang ada..

Semoga anda mendapat jawapan kepada persoalan yang bermain difikiran anda..

Hati & Jiwa

Perasaan hati
Amat sukar ditafsirkan
Saat bahagia mula menyinar
Derita menebuk lubuk jiwa
Hati meronta
Tiada jalan
Dilema perasaan
Mencengkam dada
Air mata
Tak mampu ditahan
Bukankah bahagia sudah menjelma
Mengapa jiwa masih mencari
Memerhati
Melihat
Adakah hati telah terpikat
Mustahil
Kisah ini sepatutnya sudah berakhir
Tatkala itu
Kemana harus ku bawa
Buang jauh dari jiwa yang lara
Usah dikecewakan
Kerana
Terlalu banyak hati yang terluka
Andai itu takdirku
Tunjukkanlah jalanMu
Semoga ia kembali tenteram
Di dalam lubuk jiwa yang dalam

Nukilan: Notfatun Nikmah
Tarikh  : 8/8/2014
Masa   : 5:43pm

Khamis, 7 Ogos 2014

Si Amal Penyelamat Sang Rimba



Pada zaman dahulu kala, ada sebuah kampung bernama Kampung Sekapur Sireh Ros. Di dalam kampung tersebut tinggal seorang teruna yang elok paras rupanya iaitu Si Amal yang bekerja sebagai pemburu.
     Manakala, bersebelahan kampung tersebut terdapat sebuah hutan yang dihuni oleh pelbagai jenis warga binatang. Tersebutlah kisah, pada suatu hari, tinggallah dua ekor anak burung yang sedang menanti kepulangan ibunya bagi membawa pulang makanan kepada mereka.
     Pada hari itu, cuaca kelihatan sangat baik. Si Amal pun bercadang untuk keluar berburu di hutan sebelah kampungnya itu. Tiba- tiba!!!
Muncul seekor mawas yang cuba membaham anak burung. Ketika itu, Si Amal telah melihat kelibat mawas yang membaham anak-anak burung tersebut. Dengan pantas, Si Amal pemburu binatang tersebut mengeluarkan anak panah dari buluh di balik badannya sambil ditangannya memegang busur. Zupp…
Anak panah tersebut terkena tepat pada dada mawas tersebut. Akhirnya mawas itu pun mati. Sejak dari hari itu, seluruh warga hutan menggelarkan Si Amal Penyelamat Sang Rimba.

Selang setahun kemudian, Si Amal Penyelamat Sang Rimba telah pun bertemu jodoh dengan seorang gadis kampung bernama Anis dari Kampung Pinang Sebatang yang terletak bersebelahan hutan tersebut. Tidak lama kemudian, Si Amal Penyelamat Sang Rimba dikhabarkan dengan khabar gembira apabila isterinya Anis telah mengandungkan anak buatnya.
Genap sembilan bulan sepuluh hari, isteri Si Amal Penyelamat Sang Rimba, Anis telah selamat melahirkan seorang anak lelaki yang cukup baik paras rupanya. NAMUN!!!
Umur isteri Si Amal Penyelamat Sang Rimba tidak panjang. Genap 11 bulan umur anaknya itu, Anis pun mengalami suatu penyakit pelik sehingga bertemu ajal.
Runtun sungguh hati Si Amal Penyelamat Sang Rimba tatkala isterinya pergi meninggalkannya bersama cahaya matanya buat selama-lamanya.
Cahaya mata hasil kasih sayang mereka itu dinamakan Si Kecil Iman. Tatkala Si Kecil Iman mula genap berumur dua tahun, keletahnya sungguh ligat. Malah, Si Kecil Iman sudah pandai bertutur serta petah berbicara lagak seperti anak kecil berumur enam tahun.
Oleh kerana hanya tinggal berdua, Si Amal Penyelamat Sang Rimba selalu membawa Si Kecil Iman bersama-sama sewaktu pergi berburu di hutan.
Sedang berburu, tiba-tiba, cuaca bertukar menjadi mendung. Hari seakan-akan gelap sehinggakan cahaya matahari terus hilang dari bumi. Si Amal Penyelamat Sang Rimba cuba mencari tempat berteduh.
Sedang asyik sibuk mencari tempat berteduh, Si Kecil Iman hilang dari pandangan. Puas sudah Si Amal Penyelamat Sang Rimba melaung-laung memanggil nama anaknya itu, namun tiada sahutan balas dari anaknya.
Kakinya terus berlari tanpa arah tuju. Si Amal Penyelamat Sang Rimba menyelinap segenap hutan mencari kelibat Si Kecil Iman yang tiba-tiba hilang dalam jagaannya. Tiba-tiba!!!!! Terdengar bunyi pekikan yang amat menggerunkan.
Petir sambar menyambar, kilat sabung menyabung, hujan turun dengan lebatnya sehinggakan tiada nampak akan Si Amal Penyelamat Sang Rimba kelibat di sekeliling.
Si Amal Penyelamat Sang Rimba terus berjalan mencari anaknya sambil air matanya tidak berhenti mengalir. Mengenangkan satu-satunya anaknya itu yang hilang ghaib entah ke mana.
Malang tidak berbau, petir telah menyambar pokok lalu pokok itu rebah dan tersujud ke bumi. “Arghhh!!!”, Si Amal Penyelamat Sang Rimba menjerit kesakitan.
Pokok tersebut telah menimpa badan Si Amal Penyelamat Sang Rimba. Malangnya, Si Amal Penyelamat Sang Rimba tidak terdaya lagi hendak bergerak. Lalu, pandangan matanya mulai kelam dan gelap.
  Saat Si Amal Penyelamat Sang Rimba membuka matanya, dia melihat kelibat seorang wanita yang sangat cantik paras rupanya. Di samping wanita itu ada seorang budak lelaki yang seakan-akan dikenalinya. “Iman…………”, Si Amal Penyelamat Sang Rimba cuba bersuara.
“Wahai Si Amal Penyelamat Sang Rimba, janganlah tuan hamba khuatir. Tuan hamba sekarang berada di teratak hamba, dan anak tuan hamba  juga berada di bawah jagaan hamba. Hamba bernama Puteri Fatun. Hamba adalah pemilik hutan ini.”
“Minumlah air ubat ini tuan hamba. Semoga kecederan tuan hamba pulih seperti sediakala.” Sambil menghulurkan secawan air ubat dari tempurung kelapa.
Saat Puteri Fatun memberikan air ubat tersebut, tangan mereka bersentuhan lantas mata mereka saling bertentang. Hati Si Amal Penyelamat Sang Rimba terus berdebar dan Si Amal Penyelamat Sang Rimba terus jatuh cinta kepada Puteri Fatun.
Genap 11 hari dalam rawatan dan jagaan Puteri Fatun, Si Amal Penyelamat Sang Rimba pun kembali pulih seperti sedia kala. Bahkan badannya kembali lebih bertenaga daripada biasanya. Namun, hatinya sayu kerana bakal meninggalkan Puteri Fatun yang telah menjaga dirinya dan anaknya Si Kecil Iman selama sakitnya itu.
Oleh kerana tidak ingin kecewa di kemudian hari, Si Amal Penyelamat Sang Rimba pun meluahkan perasaan cinta dan kasihnya kepada Puteri Fatun. Malahan, Si Kecil Iman juga turut sudah senang bersama Puteri Fatun yang sudah dianggap seperti ibu sendiri.
Berlangsunglah perkahwinan mereka selama tiga hari dan seluruh warga hutan begitu riang gembira kerana Puteri Fatun telah bertemu jodoh dengan jejaka yang sesuai buatnya.
Namun!!! Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Awan hitam mula melarat ke seluruh hutan dan kampung. Hujan lebat turun tiada hentinya. Kilat pula terus sambar menyambar.
Tiba-tiba!!! Kelihatan kelibat lembaga hitam di awan yang kelam. Terasa seakan-akan ada kuasa jahat yang meliputi seluruh bumi. Lembaga hitam itu ketawa berdekah-dekah.
 “Wahai Si Amal Penyelamat Sang Rimba, aku lah Raja Kegelapan yang paling kejam di dunia ini. Aku kemari kerana ingin mengalahkan kau wahai Si Amal Penyelamat Sang Rimba. Dan aku ingin merampas Puteri Fatun daripada genggamanmu. Hahahahahahaha..”
Si Amal Penyelamat Sang Rimba terkejut dengan kata-kata dari Raja Kegelapan tersebut. “Kalau kau begitu berani, marilah bertarung tenaga denganku wahai Raja Kegelapan.”
“Aku terima cabaran kau wahai Si Amal Penyelamat Sang Rimba. Hahahahahaahha……” pertarungan telah pun bermula. Bunyi dentuman tidak henti di sana dan sini.
Dalam sekelip mata, kedua-duanya telah menghancurkan separuh dari hutan tersebut. Warga hutan masing-masing lari lintang-pukang kerana ingin menyelamatkan diri daripada pertarungan antara Raja Kegelapan dan Si Amal Penyelamat Sang Rimba.
Puteri Fatun telah membawa Si Kecil Iman  bersembunyi jauh daripada kawasan pertempuran. Raja Kegelapan mengeluarkan kesemua kuasa jahatnya untuk menewaskan Si Amal Penyelamat Sang Rimba. Akan tetapi Si Amal Penyelamat Sang Rimba tidak sedikit pun mengeluarkan tenaga dalamannya kerana takut tidak mampu mengawal kuasanya sendiri.
Raja Kegelapan tidak berhenti-henti melakukan serangan bertubi-tubi terhadap Si Amal Penyelamat Sang Rimba. Namun, segala serangannya itu hanya dielak oleh Si Amal Penyelamat Sang Rimba.
Raja Kegelapan pun bersuara dengan angkuh sekali, “kenapa kau tidak melawan balik serangan aku?”. Si Amal Penyelamat Sang Rimba hanya mendiamkan diri dan berjaga-jaga.
Si Amal Penyelamat Sang Rimba akhirnya bersuara, “Aku takut kau akan mati setelah terkena serangan aku nanti, wahai Raja Kegelapan.”
“Hahahahahahahaha…”, dengan angkuhnya Raja Kegelapan mengketawakan kata-kata dari Si Amal Penyelamat Sang Rimba itu. “Aku tidak pernah kalah dalam mana-mana pertarungan sebelum ini sebab aku lah yang terkuat.” Mendengarkannya, Si Amal Penyelamat Sang Rimba tersenyum sinis.
Setelah bertahun lamanya mereka berlawan tanpa henti, Si Kecil Iman telah pun berumur 10 tahun. Oleh kerana Si Kecil Iman tidak mampu bersabar lagi asyik bersembunyi bersama ibunya, Puteri Fatun, lantas dia pun keluar ingin menolong ayahnya Si Amal Penyelamat Sang Rimba yang hanya mengelak segala serangan dari Raja Kegelapan.
Namun, Puteri Fatun telah menghalangi kehendaknya itu kerana khuatirkan akan keselamatan anaknya itu. Takut-takut Si Kecil Iman akan tercedera semasa menolong ayahnya nanti.
Si Amal Penyelamat Sang Rimba telah banyak kali memberi peluang hidup kepada Raja Kegelapan, tetapi Raja Kegelapan tidak insaf dan tetap ingin membunuhnya.
Setelah sekian lama, Si Amal Penyelamat Sang Rimba pun membuat satu serangan kecil terhadap Raja Kegelapan. Sepantas kilat, kedua-dua kaki Raja Kegelapan putus tanpa disedarinya. Raja Kegelapan meraung kesakitan. “Arghhhh!!!!! Arghh!!! Kaki aku..!! Tak guna kau Si Amal..!!” Raja Kegelapan tetap tidak mahu mengalah.
Walaupun menahan kesakitan, Raja Kegelapan terus membuat serangan bertubi-tubi kepada Si Amal. Sehinggakan kesabaran Si Amal Penyelamat Sang Rimba telah pun hilang.
Si Amal Penyelamat Sang Rimba bersuara, “sudah tiba masanya kau mati wahai Raja Kegelapan. Dan akan aku hancurkan negaramu sekali”
Si Amal Penyelamat Sang Rimba terus memukul Raja Kegelapan tanpa menggunakan tenaga dalamannya. “Adakah kau mahu hidup lagi?” satu soalan ditujukan kepada Raja Kegelapan.
“Kalau berani, bunuhlah aku. Hahahahahaha………” Jawab Raja Kegelapan. Si Amal Penyelamat Sang Rimba pun membuat satu tendangan di kepala Raja Kegelapan menggunakan kaki kirinya. Maka, terpisahlah antara kepala dan badan raja itu.
Dipungutnya kepala dan badan raja itu lalu dibawanya pulang ke negara Raja Kegelapan tersebut. Si Amal Penyelamat Sang Rimba pun memusnahkan seluruh negara yang dikuasai kegelapan tersebut tanpa meninggalkan walaupun satu yang hidup.
Akhirnya, awan hitam mulai beransur hilang. Cahaya menjadi terang seperti sedia kala. Semuanya kembali seperti asal. Kampung Sekapur Sireh Ros dan Kampung Pinang Sebatang menjadi aman dan makmur.
Hutan yang dahulunya musnah akibat pertarungan di antara Raja Kegelapan dan Si Amal Penyelamat Sang Rimba kembali subur menghijau. Binatang-binatang mula kembali ke alamnya dan hidup terpelihara. Si Amal Penyelamat Sang Rimba kini hidup bahagia bersama keluarganya.
***THE END***
Penulis:
Notfatun Nikmah Mohamed & Muhamad Noramalsah Mohd Sah Roni