Jumaat, 29 Ogos 2014

Praktikal : Kali Pertama Hari Pertama



                Pagi ni, cuaca nampak redup. Sementara aku bersiap mandi, kakak dan abang ipar ku sudah pun keluar kerana kakak ada temujanji dengan doktor di hospital. Biasalah, cek keadaan bayi dalam kandungan. Mujur adik aku ada lagi di rumah. Selalunya dia sudah gerak ke tempat kerja dia di KL.
                Aku pun terkocoh-kocoh bersiap-siap. Takut-takut ditinggalkan adik ku. Almaklumlah, ini hari pertama aku sampai di sini. Jalan pun aku tak hafal lagi. Disebabkan hari ini hari pertama aku lapor diri, jadi aku mengenakan baju kurung hijau. Risau juga aku pakai baju kurung ni sebab aku menunggang motorsikal.
                Hujan rintik-rintik. Aku mengenakan baju hujan (seluar hujan tak pakai sebab aku pakai kain). Masa hendak ke laluan Putrajaya, motor ku yang ditepi tak mampu mengelak lopak-lopak air. Lebih-lebih lagi keadaan jalan raya yang jem dan kereta bersesak-sesak sampai menghimpit ke tepi. Oleh itu,aku nyaris-nyaris terjatuh akibat tidak dapat menyeimbangkan motor. Aku meneruskan perjalanan ke tempat kerja ku berbekalkan doa semoga Allah melindungi aku dan motorku.
                Oleh kerana aku baru sahaja berjinak-jinak menunggang mtorsikal, tidak dapat ku nafikan bahawa aku masih lagi terkial-kial menunggangnya. Risau juga jika aku terlibat dengan kemalangan. Tapi, apa yang boleh ku lakukan. Itulah satu-satunya kenderaan yang aku ada.
                Akhirnya, aku selamat tiba di Presint 15. Aku meletakkan kasut sarung pasarku di box motor dan mengenakan kasut sarung hitamku. Akan tetapi, menyesal pula aku dibuatnya sebab kasut sarung hitam tu terlebih saiznya. Walaupun saiz 5, tapi kaki ku seolah-olah kaki budak kecil yang memakai kasut dewasa. Kaki ku asyik terkeluar dari kasut. Seakan-akan ingin ku campak sahaja kasut tersebut. terseksa aku nak berjalan.
                Aku menjejakkan kaki di pejabat Qew Communication pada pukul 8:40 pagi. Tidak sampai dua minit aku duduk di sofa hitam diruangan tamu kecil, En. Iqbal yang merupakan Pengarah Urusan pun sampai. Aku pun masuk ke pejabat En. Iqbal brief kan kat aku mengenai tugasan aku sepanjang aku praktikal.  Pada waktu itu, En. Syamsir yang merupakan Pengarah Operasi masih belum tiba lagi.
                Selain memberitahu aku mengenai tugasan aku, En. Iqbal juga buat satu pengakuan bahawa Darlene (salah seorang staf di situ) sebenarnya adalah muslim. Sebelum ni, iaitu semasa aku ditemuduga, En. Iqbal dan En. Syamsir ni bagitahu aku yang Darlene ni non-muslim. Kiranya kes aku kena kelentong lah.
                Tugas aku sepanjang aku praktikal ini ialah aku akan menjadi pembantu kepada Darlene dalan menguruskan Putrajaya International Islamic Arts & Culture Festival (PIIACUF) 2014. Kira PIIACUF ni event besar yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj). Meja aku sebelah Darlene.
                Selepas itu, En. Iqbal perkenalkan aku dengan staf-staf di situ; Kak Yana, En. Marwan, Zalikha, Izzati, dan En. Miat. Darlene aku dah kenal semasa aku di temuduga dulu. Aku bersyukur sebab staf-staf kat sini semuanya baik-baik belaka.
                Pukul 10:05 pagi, En. Iqbal buat meeting untuk brief tugasan aku dan perkenalakan aku secara rasmi. Sambil-sambil menunggu masa itu, Darlene sendiri sudah menerangkan serba sedikit mengenai PIIACUF kat aku. Sebelum ni, Ika lah yang jadi pembantu Darlene dan sekarang, aku pula kena ambil alih tugasan Ika sebab Ika akan tolong En. Iqbal uruskan PLF (Putrajaya Light Festival). Dengar-dengar tukar nama Light And Mass Putrajaya (LAMPU). Jadi, atas permintaan Darlene, Ika kena serahkan segala tugasan dia pada aku dalam masa seminggu.
                Bagi aku, Darlene ni sangat baik. Dia bagi aku the tarik 3 dalam 1 sebab aku tak sempat sarapan lagi. Sementara Darlene sibuk menguruskan hal dia (serahkan tugasan IMAC pada Izzati), aku pun kaji fail-fail berkenaan PIIACUF. Belek sana, belek sini. Baca sana, baca sini. Tengok peta, tengok rekaan, segalanya. Nampaknya aku kena faham betul-betul. Kadang-kadang aku rasa mengantuk juga (hahahaha). Masa aku basuh cawan minuman ku, aku ternampaklah sinki yang agak serabut sikit. Aku ingat nak basuh sebab bau dia dah mula semerbak harum. Tapi Darlene tegah aku buat. Katanya, biarlkan saja. Masing-masing dah besar. Aku pun biarkan sahaja.
                Waktu makan tengah hari, Ika dan Izzati ajak aku beli makanan di kedai. Beli bungkus saja. Tapi aku agak terkejut jugalah semasa bayar harga makanan aku. Aku ambil nasi + sambal tempoyak + ikan sambal + limau ais = RM7.50. Pergh….!! Mahal kot. Tapi, itu memang harga standard di Putrajaya. Lepas makan sama-sama di pejabat, aku ikut Darlene dan Ika ke pejabat di PPj pula. Kiranya sana jadi pejabat kedua sempena menguruskan PIIACUF ni.
                Di sana, aku hubungi kedutaan-kedutaan besar negara lain yang ada di KL. Terkial-kial aku nak speaking London ni (hahaha). Mana taknya, dah lama sangat aku tak guna bahasa omputeh ni. Mujur Ika ada back up aku bila aku tak tahu nak jawab apa. Keesokan harinya pun aku kena call lagi. \
                Ika ada meeting PLF pukul 4.40 petang. Jadi, sementara Ika pergi meeting, aku pun bertanyakan Darlene mana-mana yang patut. Sambil-sambil tu, kitorang pun berborak-borak. Darlene bagi aku lagi sekali Nescafe 3 dalam 1.  Darlene buat kerja dia sampai kitorang pun tak perasan orang kat pejabat dah balik dah semua. Pintu pun sudah dikunci. Maksud aku pintu pejabat. Sebab aku dan Darlene duduk di luar beranda sahaja. Setelah selesai semuanya, Darlene hantar aku balik ke pejabat Qew Comm sebab aku letak motor aku di sana. 6:30 petang, aku pun memulakan perjalanan balik.
                Namun, malang tidak berbau. Aku tersalah masuk simpang ke IOI Resort. Akhirnya aku sampai di Hospital Serdang. Siap lalu MAEPS, masuk kawasan laluan utama UPM depan fakulti aku tu, dan aku pusing keluar balik kea rah Puchong/ Putrajaya. Aku ikut lebuh raya SKVE dan bila sampai simpang Cyberjaya/ Putrajaya/Salak Tinggi, aku pun masuk simpang tersebut. Sebab abah aku pernah kata kalau jalan terus akan sampai jambatan patah kat rumah kakak aku tu. Tapi aku tak tahu nak keluar ke mana sebab makin aku terus, makin ke lain aku pergi.
                Aku tersesat sampai ke Cyberjaya 3, dan aku patah balik. Aku banyak kali berhenti di tepi, hubungi kakak aku bertanyakan jalan. Abang ipar aku kata masuk balik Putrajaya. Aku pun masuk balik Putrajaya dan keluar ikut Lebuhraya Plus. Tapi aku sampai balik ke Serdang. Oleh sebab aku dah tak tahan nak buang air, aku pun masuk balik ke UPM, kawasan kolej serumpun dan aku buang air di tandas kat kafe. Kemudian, aku hubungi kawanku, Zawari, sebab dia praktikal di UPM saja.
                Sudah terlanjur aku sampai, aku pun serahkan pada Wari borang lapor diri praktikal untuk diserahkan di bilik magang. Wari juga tolong aku cek kan arah jalan mana yang aku patut ikut. Katanya, keluar ke simpang Salak Tinggi tu, selepas 4 kali simpang, simpang ke-5 selepas sahaja fly over terus masuk kiri. Aku pun ikut seperti yang Wari bagitahu. Sebelum tu, aku isi minyal di Lebuhraya SKVE sebelum masuk ke simpang ke Salak Tinggi.
                Akhirnya, selepas 3 jam aku dijalan raya, aku sampai juga di rumah. Aku terlalu rasa kepenatan yang amat sangat. Aku terus mandi dan makan. Aku ingat nak tidur sahaja sebab aku memang terasa penat. Tapi, tunang Palin, Ira, nak datang ambil baju melayu Palin dari aku. Aku pun tunggu.
Hujan mulai lebat di luar. Mujur hujannya malam hari. Kalau masa aku tersesat, aku tak tahu nak buat apa. Tunggu punya tunggu, Ira tak sampai-sampai lagi. Pukul 1:20 pagi aku sudah turun menunggu mereka di luar apartment Dahlia ni. Betul-betul di luar pintu nak masuk apartment sebab kereta luar tak boleh masuk ke dalam. Ada sistem palang yang tak ada jaga. Hanya mereka yang ada kad saja boleh keluar masuk.
Sebenarnya, aku takut juga menunggu seorang diri di situ. Dahl ah dengan keadaan hujan lebat, bertemankan payung dan fon sahaja. Aku ada nampak dua orang lelaki di bawah pondok jaga. Aku menunggu sambil menoleh-noleh kebelakang. Manalah tahu, kalau-kalau tiba-tiba mereka ada niat jahat ke. apa-apa boleh terjadi. Dalam hujan, dalam gelap, malam-malam.
Pukul 2:00 pagi, Ira pun sampai. Diorang ni tersesat dan bertanyakan aku. Memang aku tak tahulah sebab aku pun baru je tiba di situ dan tersesat 3 jam masa nak balik dari pejabat ke rumah je pun. Masa aku berjalan balik masuk ke kawasa apartment, aku pula terlanggar kon merah kat tepi palang keluar. Gelap. Dalam pukul 2 lebih baru aku masuk tidur. Seluar ku yang basah sampai ke peha Cuma aku lap-lap dengan kain je. Walaupun kebasahan, aku dah malas nak ganti seluar. Aku penat dan tertidur akhirnya.
*****


Tiada ulasan: