Genap sudah perkenalan kami selama lima tahun. Aku mengenalinya sejak dia dan kawan-kawan ku bertandang ke rumah ku sempena menyambut Hari Raya Puasa yang keempat. Boleh ku katakan dia termasuk geng baraan kawanku. Tetapi, sebenarnya aku mula mengenalinya tiga tahun sebelum itu. Ketika itu, aku masih lagi di tingkatan empat. Masih terngiang di ingatanku, kawan ku yang bernama Naz, duduk di sebelah meja ku menyatakan kepada ku suatu hari.
"Nik, sepupu aku nak kenal dengan kau."
Muka ku berkerut-kerut ketika mendengar kata-kata yang diluahkan oleh Naz. Aku semacam tidak percaya bahawa ada insan lain yang ingin berkenalan denganku.
"Nama dia Im. Dia kelas 4F."
Namun, aku punya pendirian tersendiri ketika itu bahawa aku tidak ingin membawa diriku kepada alam percintaan. Kerana aku mengikuti arahan mak abah ku yang tidak membenarkan kami adik-beradik bercinta di zaman persekolahan. Aku begitu takut akan abah ku yang garang. Oleh itu, berkawan dengan lelaki pun aku jarang.
Disebabkan itu lah aku terpaksa menolak permintaan sepupu Naz untuk berkenalan dengan ku. Jangan katakan jumpa, muka dia pun aku tak pernah tahu. Itulah kali pertama dan terakhir aku mendengar akan nama insan yang ingin berkenalan dengan ku. Selepas itu, Naz tidak pernah menimbulkan lagi mengenai sepupunya itu.
*****
Setelah tamat SPM, aku melangkahkan kaki ke Terengganu. Aku melanjutkan pelajaranku di sebuah IPTA di sana. Ini lah kali pertama aku meninggalkan keluargaku jauh dari sisi ku. Namun, semua ini bukan penghalang bagi ku untuk mencapai cita-citaku. Aku hanya pulang ke kampung halamanku apabila sudah habis satu semester sesi pembelajaranku. Kalau sepanjang kuliah, aku hanya akan pulang apabila tiba Raya Haji atau Raya Puasa.
Tetapi, satu keseronokkan bagiku apabila tiba hari raya puasa, kawan-kawanku akan datang ke rumahku dengan geng baraannya. 2009, sepatutnya aku mengikuti geng baraan kawanku. Namun, mungkin sudah tiada rezeki ku, aku hanya mampu duduk di rumah dan menanti kehadiran mereka. Itu lah kali pertama, aku bertemu dengan dia. Ya.... Dialah insan yang pernah ingin berkenalan dengan ku dulu.
Pada waktu itu, baru lah aku mengenalinya. Wajahnya, rupanya, perilakunya, kesopanannya. Tetapi, hanya sekadar itu sahaja. Petemuan kami yang pertama kalinya. Di rumahku. Walaupun hanya sekejap.
*****
Apabila aku berada di tahun akhir pengajianku, salah seorang ahli keluargaku mengalami kemalangan yang menyebabkannya koma dan lumpuh. Hanya 40% sahaja ingatannya pulih. 2010, sekali lagi aku berjumpa dengan kawan-kawanku dan geng baraannya. Hanya kepada kawan perempuan sahaja aku maklumkan mengenai keadaan kakak ku itu dan mereka melihat kakak ku yang terbaring di atas katil di ruang tamu rumah ku. Manakala, kawan lelaki yang lain hanya duduk di beranda rumah dan tidak mengetahui hal itu.
Suatu hari, aku mendapat satu panggilan telefon dari nombor yang tidak ku kenali. Aku mesej kembali bertanya siapakah dan ada apa. Aku begitu terkejut dengan jawapan mesej yang ku terima. Dia, mengetahui perihal kakak ku dari salah seorang kawan perempuan ku. Dia juga meminta nombor telefon ku dari kawan ku itu. Dia mengucapkan takziah buat ku. Sejak dari itu, dia sering berbalas mesej denganku. Namun, setelah dia mengetahui yang aku sudah mempunyai seseorang, dia terus mengundurkan dirinya dari ku. Terus senyap dan hilang dari ku. Kami hanya berjumpa ketika baraan raya sahaja.
*****
Namun, dia muncul kembali selepas mengetahui aku telah pun putus. Malang sekali, kawan baiknya ketika itu telah meluahkan perasaan padaku dan aku pula terus menerima kerana pada ketika itu, aku memerlukan seseorang untuk memulihkan hati ku yang terluka dengan cinta yang terputus di tengah jalan.
Sekali lagi, dia menghilangkan diri dariku setelah mengtahui aku bercinta dengan teman baiknya sendiri. Namun, selang dua tahun kemudian, dia muncul dan mula berkawan denganku. Kami dan kawan-kawan ku pergi mendaki bukit, berjalan-jalan ke pantai, makan-makan di rumah, bbq dan sebagainya bagi mengeratkan hubungan silatur rahim kami sekawan.
Dia, sering memberikan aku nasihat, pertolongan dan semangat. Tidak aku nafikan, di dalam perhubungan aku dan teman lelaki ku memang berlaku perselisihan faham, pergaduhan dan kadang-kadang sehingga masing-masing sudah mula tawar hati. Aku pula sering kecil hati dengan sikap teman lelaki ku yang selalu tidak mengendahkan aku dan tidak memahami ku. Malah, teman lelaki aku pun mula tawar hati sehingga menjauhkan diri dari ku berhari-harinya.
Biasalah, setiap perhubungan ada pasang surutnya. Kadang-kadang ombak besar menghempas ke pantai dan kadang-kadang hanya buih-buih kecil menghiasi pantai. Begitulah perhubungan ku dan teman lelaki ku.
Aku berteman rapat dengan Im. Walaupun aku tak menceritakan sangat mengenai masalah ku dan teman lelaki ku, tapi Im seakan-akan mengetahuinya. Dialah tempat aku berborak dan mengadu apa-apa kerana teman lelaki ku selalunya tiada masa untuk aku.
Sehingga suatu hari itu, aku mulai sedar akan sesuatu apabila teman sebilik ku menyatakan sesuatu kepada ku. Kami berborak-borak mengenai masalah cinta kami dan...
"Sebenarnya kau dah mula buka hati kau kat dia."
Aku seakan-akan terkejut dengan penyataan dari teman sebilik ku itu. Adakah benar aku sudah mula membuka hatiku padanya? Namun, aku tidak mampu berbuat apa-apa kerana aku sudah mempunyai teman lelaki dan dia juga sudah mula berubah sedikit demi sedikit. Ahli keluarga aku juga sudah mengetahui perihal hubungan kami. Mengenai aku dan Im, mak aku melarang perhubungan aku dan Im kerana mak aku tahu Im ada menyimpan perasaan terhadap ku dan mak tidak ingin dia kecewa.
Aku juga terpaksa melepaskannya pergi. Aku juga perlu menutupkan pintu hati ku ini semula. Aku juga perlu buang segala perasaan sayang yang sudah mula timbul di hati ku ini. Semua ini demi masa depan ku juga kerana aku bakal mendirikan rumah tangga dengan teman lelaki ku itu. Teman lelaki aku sebenarnya sudah cukup baik kerana dia sudi menerima segala baik buruk ku dan terima aku seadanya.
Oleh itu, perasaan ku terhadap Im perlu ku timbus dan ku kuburkan sahaja. Aku....terpaksa melepaskan dia pergi selama-lamanya. Walaupun, sebenarnya hati aku juga berasa sedikit terluka. Namun, ini semua demi menjaga kesucian hati ku hanya buat suami ku itu nanti.
Selamat Tinggal........ Maaf.... Kerana aku terpaksa melepaskan kau pergi...
*****
TAMAT